Kamis, 28 Juli 2011

Senja Syahdu Penuh Rindu

Senja Syahdu Penuh Rindu (Cerpen Mini)
oleh Ibnu Din Assingkiri




Pagi itu Daud bangun lewat dari biasa. Di sini tiada kokokan ayam jantan yang mengejutkannya. Jika di rumahnya dia akan bangun sebaik sahaja kokokan ayam yang pertama berbunyi. Di taman perumahan elite ini pasti tiada manusia yang membela ayam. Daud teringatkan ayam itik dan kambing di kampung. Risau juga tentang ternakan yang ditinggalkan di bawah jagaan jirannya Osman. Dia bimbang kerana musang dan biawak selalu mencuba untuk masuk ke reban.



Memang sudah menjadi kebiasaan Osmanlah yang menjaga ternakannya jika dia dibawa anaknya ke rumah mereka di bandar. Osman memang kawan dan jiran yang boleh diharap. Dia pasti Osman akan menjaga ternakannya dengan baik. Dia pantas bangun untuk mandi dan terus solat subuh sebaik sahaja selesai azan yang berkumandang syahdu di pagi yang sunyi. Dia bersyukur kerana masih kekal sihat untuk menjalankan ibadah. Kawan-kawan sebayanya banyak yang telah pergi menemui Ilahi, termasuk juga isterinya yang paling dicintai, Kamariah.



Anaknya, Hidayah baru berhenti kerja sebagai pengurus sebuah bank untuk menumpukan perhatian kepada cucu-cucunya yang semakin membesar. Menantunya pula seorang pegawai tinggi dalam sebuah perusahaan swasta yang terkenal. Cucu-cucunya pula sepasang, yang lelaki dalam darjah enam, manakala yang perempuan pula di tingkatan dua. Rumah banglo mereka yang besar dengan hiasan dan perabot mewah yang diimpot dari Eropah bakal sunyi bila menantu dan cucu-cucunya keluar bekerja dan ke sekolah. Daud tak sabar-sabar untuk pulang ke rumahnya di kampung. Dia kelihatan resah walau baru dua hari bertandang di rumah anaknya, Hidayah.



“Ayah duduklah lama sikit di sini. Takkan dah nak balik yah. Baru kemarin ayah sampai, hari ni dah nak balik.” Hidayah memecah kesunyian pagi di meja makan. “Ayam itik tak boleh tinggal lama-lama dengan Pak Osman.” Jawab Daud, ringkas dan dingin. “Alah, ayah, Pak Osman kan duda pencen macam ayah juga. Biarlah dia yang jaga ayam itik ayah tu”. Hidayah merayu ayahnya. “Ayah tak boleh tinggal lama-lama di sini, ayah tak biasa tinggalkan rumah lama-lama. Lain kali ayah datang lagi ya.” Daud membalas kata-kata anaknya bersama senyuman tawar. Di dalam fikirannya hanya ada satu perkara: hari ini kalau tidak dihantar, dia akan pulang juga dengan bas.



Berkali-kali Hidayah dan adik-beradik yang lain mendesak untuk mengambil ayah mereka tinggal bersama tetapi ayahnya tidak setuju. Alasannya cuma satu; binatang ternakan tiada yang menjaga. Mereka risaukan ayah mereka yang tinggal bersendirian. Hidayah pernah berpakat dengan adik-beradiknya untuk menikahkan ayah mereka dengan Mak Kiah balu Pak Mat tetapi ditolak mentah-mentah oleh Daud. Dia lebih senang tinggal sendiri dan tidak mahu menikah lagi.



“Orang hairanlah ayah ni, suruh menikah tak nak. Mak Kiah tu memang sesuai dengan ayah. Dahlah cantik, baik pula tu. Ayah tak berkenan ke?” Hidayah melontarkan soalan basi kepada ayahnya. Daud tersenyum dan bersandar ke penyandar kerusi kayu jati yang tinggi seperti kerusi bersanding raja sehari. Dia diam, hanya tersenyum, tiada jawapan. “Ayah, orang tanya ni, orang tanya dia senyum pulak. Nak ke? Kalau nak hari ni juga kami masuk meminang.” Hidayah bertanya dengan penuh semangat. “Merepeklah Dayah, ayah dah tua, tak payahlah nak menikah lagi. Seganlah, nanti apa pula kata orang kampung. Dah tua-tua pun tak sedar diri. Biarlah ayah menduda, lagipun ayah dah lama makan bonus umur. Entah esok atau lusa ayah kena pindah ke belakang masjid. Kesian Mak Kiah nanti jadi balu lagi sekali. Daud menjawab selamba. Hidayah terdiam seketika mungkin sedang mengatur strategi untuk berhadapan dengan ayah yang sangat dihormatinya.



“Ayah ni, orang geram tau. Seriuslah sikit, ayah. Orang bimbang ayah tinggal seorang diri di kampung. Siapa nak jaga ayah. Sekarang ayah sihat lagi, ok lah. Kalau ayah sakit nanti, macam mana? Ayah, kami semua tinggal jauh dari kampung. Kami ajak ayah tinggal di rumah kami ayah tak nak. Suruh menikah pun tak nak. Hishhh..!! tak faham la orang dengan ayah. Apa sebenarnya yang ayah nak. Ayah suka sangat bagi kami adik-beradik susah hati.” Hidayah memakai nada paling lembut dalam ketegasan kata-kata. Itulah hasil didikan isterinya. Anak-anak tak pernah meninggikan suara kepada orang-orang tua apatah lagi ibubapa.



Daud mengesan kesebalan Hidayah. Bukan dia tak sayang anaknya, cuma mereka tidak faham apa yang terbuku di hatinya. Dia tak ingin menikah lagi. Dia tak sanggup meninggalkan kenangan isterinya yang tercinta, ibu kepada anak-anaknya. Dia tak sanggup menduakan isterinya. Dia akan tetap setia hingga mereka kembali bersatu di syurga. Inilah harapan dan do’anya setiap kali dia sujud dalam solat dan tahajud. Dunia ini hanyalah perjalanan sementara dan dia akan menghabiskan sisa hidupnya dengan beribadat dan menjadi hamba yang bersyukur. Kerinduannya begitu dalam, mendera hati dan perasaannya sejak sepuluh tahun isterinya meninggal dunia.



“Pandai Dayah masak kuih seri muka ni ya. Sedap, sama macam yang mak Dayah buat.” Daud cuba menukar topik. Muncung mulut Hidayah kembali normal. “Tengoklah anak siapa, anak Hajah Kamariah yang paling expert bab masak-memasak. Mestilah sedap, di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.” Hidayah mengangkat dirinya sendiri. Daud tersenyum melihat gelagat anaknya yang sudah separuh umur tapi masih belum berubah. “Ayah, orang ni dah tua lah ayah, taktik ubah topik tu dah tak berkesan lagi...he he he...” Mereka dua beranak ketawa bersama-sama. Daud terbayang wajah isterinya bila melihat Hidayah ketawa, salin tak tumpah seperti arwah ibunya.



Jika hanya anak-anaknya faham betapa kerinduan dan kekosongan hidupnya hanya dapat diisi oleh ibu mereka, bukan wanita lain. Cintanya hanya satu, dan tak mungkin akan berbunga lagi. Kasih sayang dan cinta yang disemai selama tiga puluh tahun bersama Kamariah adalah kisah cinta paling agung buat dirinya. Walaupun mereka menikah atas dasar pilihan orang tua, mereka tetap pasangan yang bahagia. Hari-hari selepas diijabkabulkan adalah hari-hari penuh cinta dan keindahan dalam hidup mereka. Kamariahlah bidadari syurga yang dikirimkan Allah kepadanya. Dia pasrah di atas ketentuan takdir yang menjemput isterinya kembali terlebih awal dari dirinya.



“Dayah, ayah kena balik hari ini juga nak. Dah dua hari ayah tak jenguk mak Dayah. Ayah rindu mak Dayah.” Bergenang airmatanya kerana kenangan silam telah mengusik jiwa. “Ayah kenapa ayah cakap macam ni. Orang sedih tau. Pak Osman cakap, hari-hari ayah ke kubur mak. Ayah tak payahlah ke kubur mak setiap hari. Ayah terimalah hakikat, mak dah tak ada. Ayah kena teruskan hidup ayah tanpa mak.” Hidayah tidak dapat lagi menahan sebak. Dia menangis melihat airmata yang bergenang di mata ayahnya. Suasana makan pagi dua beranak telah berganti sepi. Hanya isak tangis Hidayah yang kedengaran.



Kini Hidayah faham, ayam itik dan kambing hanyalah alasan ayahnya. Sebenarnya ayah yang dikasihinya itu tidak mahu berenggang dengan kenangan bersama arwah ibunya. Pak Osman ada memberitahunya tempoh hari, tentang ayahnya yang saban hari menziarah kubur ibunya. Di kubur, ayahnya akan membaca surah Yassin dan tinggal di sana hingga dua tiga jam. Begitulah aktiviti ayahnya setiap hari selama sepuluh tahun ini. Hidayah tak dapat berbuat apa-apa lagi. Dia tak sanggup melihat airmata ayahnya mengalir. Dengan suara yang tenggelam timbul dalam isak tangis, Hidayah berkata, “Lepas abang balik kerja nanti, kami hantar ayah balik ke kampung.”



Sejak pagi tadi wajah Daud kembali ceria. Dia menjadi ramah semula dengan anak cucu. Celotehnya kembali ceria seperti biasa. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung Daud menceritakan tentang kenangan semasa arwah isterinya masih hidup. Tentang kepandaian isterinya memasak, tentang kecantikan dan kebaikan isterinya. Semuanya tentang Hajah Kamariah yang terlalu istimewa di mata seorang suami. Hidayah menjadi semakin kagum dengan keistimewaan arwah ibunya.



Langit senja yang merah menyambut kepulangan Daud di kampung. Berseri-seri muka Daud ketika melalui di hadapan masjid. Di sana ada kekasih hati yang menunggu penuh setia seperti juga dirinya yang selalu setia. Jika tidak kerana senja, pasti dia akan terus menziarah kubur isterinya. Senja ini sangat bermakna kerana senja ini menyambut kepulangan sang kekasih yang terpisah oleh jarak dan waktu. Senja ini syahdu dan penuh rindu.



Kepala Batas, Pulau Pinang

22 July 2011

Copyright©Sanusi Din 2011, All Rights Reserved.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar